"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui." - Surah At-Taubah (ayat 103)
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat". Surah An-Nur (ayat 56)
"Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." Surah Al-Baqarah (ayat 83)
Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.
PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
SYARAT WAJIB ZAKAT
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. | |
Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari. | |
Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. | |
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan. |
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:
"...Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya" - Riwayat Muslim
KADAR FITRAH
Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
WAKTU MENGELUARKAN FITRAH
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:
WAKTU WAJIB Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya. | |
WAKTU YANG PALING AFDHAL Sebelum sembahyang Hari Raya | |
WAKTU SUNAT Sepanjang bulan Ramadhan | |
WAKTU MAKRUH Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal | |
WAKTU HARAMSelepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya. |
No comments:
Post a Comment